Monday, September 3, 2012

Aku Milik Kamu

 

Perlumbaan Mengejar Bahagia

Hakikatnya, kebahagiaan yang ingin dikecapi setiap manusia adalah kebahagiaan yang hakiki. Kebahagiaan yang ingin kita nikmati di dunia sampai Syurga nanti.

Ramai manusia berusaha untuk bahagia. Namun, tidak ramai yang mengecapi nikmatnya. Ramai manusia mencari bahagia di celahan wang ringgit dan kumpulan harta; kereta yang mewah sebagai koleksi, rumah yang bertingkat-tingkat tidak cukup dengan satu, pakaian yang berjenama setiap bulan dibeli baru. Ada juga yang mencari bahagia dengan pangkat, gelaran dan nama. Ada yang ingin bertemu bahagia apabila namanya popular disebut-sebut manusia.

Mungkin, kebahagiaan yang dijumpai itu hanya sekejap waktu andai ia tidak disandarkan kepada Yang Maha Kekal, iaitu Allah, Tuhan sekalian alam.

Kebahagiaan itu hanya bersifat hakiki apabila ia disuburkan dengan bajaan Iman dan Islam. Apabila hati sentiasa beroleh ketenangan bersama Tuhan. Kebahagiaan tanpa ada Allah di hati ibarat suatu nikmat yang hanya datang seperti angin lalu. Hanya sesekali singgah menyapa. Namun, tidak dapat digenggam oleh hati. Biarpun, manusia berlumba mengejar kebahagiaan yang hakiki, ia tidak akan dapat digapai ketika hilang Allah sebagai Ilah, ketika keimanan tidak menjadi baja yang menyuburkan bunga-bunga kebahagiaan.

Kebahagiaan adalah suatu nikmat yang tidak terhingga. Kebahagiaan hakiki adalah kebahagian yang berakar umbi dari hati. Ia umpama bunga-bunga yang tumbuh mekar di kebun hati yang tenang, di sisinya adalah kolam jiwa yang lapang.




Kebahagiaan itu datang dari hati.

Kebahagiaan itu datang bersama ketenangan.

Kebahagiaan itu datang bersama jiwa yang lapang.

No comments:

Post a Comment